Thursday, June 24, 2010

Kejayaan Malaysia dalam Bidang Pembangunan Negara

Menara Berkembar Petronas (KLCC)

Menara Berkembar Petronas merupakan simbol kemodenan dan kemajuan Malaysia dalam sains dan teknologi. Dilengkapkan pada tahun 1998, menara berkembar ini merupakan visi mantan Perdana Menteri ke-4, iaitu Dr. Seri Mahathir bin Mohammad dalam usaha pemodenan Malaysia seiring dengan perkembangan dunia yang semakin pesat supaya negara tidak ketinggalan. Menara ini direka oleh dua orang arkitek dari Argentina, C├ęsar Pelli dan Djay Cerico dan menjadi bangunan tertinggi di dunia pada masa itu. Gelaran bangunan tertinggi di dunia bagi Menara Berkembar Petronas bertahan dari tahun 1998 hingga 2004, sebelum bangunan Taipei 101 di Taiwan siap dibina dan diiktiraf sebagai bangunan tertinggi di dunia pada tahun 2004. Walau bagaimanapun, menara berkembar ini masih menjadi ikon Malaysia yang berwawasan dan bangunan ini akan sentiasa mengingatkan rakyat bahawa negara Malaysia mampu menjadi negara yang maju dan berjaya.

Bangunan ini mempunyai ketinggian sebanyak 451.9 m dan keluasan sebanyak 395,000 meter per segi. Bangunan ini juga mempunyai 88 tingkat dan kos pembinaan kedua-dua menara menelan sebanyak RM1.6 bilion! Terdapat beberapa cirri-ciri dalam bangunan ini yang menjadi tarikan pengunjung dan antaranya ialah “Skybridge”, iaitu sebuah jambatan yang menghubungkan kedua-dua menara dalam tingkat 41 dan 42. Selain menonjolkan nilai estetika menara berkembar ini, jambatan “Skybridge” ini juga berfungsi sebagai aspek keselamatan sekiranya berlaku kecemasan seperti kebakaran dalam salah satu menara. Selain jambatan ini, taman KLCC yang terdapat di perkarangan bangunan ini (terletak berhampiran Suria KLCC) juga menjadi faktor tarikan pengunjung. Seluas 17 ekar, taman ini mempunyai panorama yang begitu indah walaupun terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Lumpur dan pelbagai kemudahan disediakan seperti jalan khas untuk berjalan atau berjoging dan taman permainan kanak-kanak. Taman KLCC juga memiliki pancut air dan pertunjukan cahaya yang menjadikan taman itu amat mempesonakan bagi mereka yang mengunjung taman itu pada waktu malam.

Sememangnya Menara Berkembar Petronas merupakan kejayaan Malaysia yang terbesar pada zaman modenisasi ini dan kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berbangga dengan Malaysia yang mampu mencapai kejayaan dalam bidang sains mahupun teknologi. Sekiranya kita mengambil iktibar daripada bangunan berkembar ini, kita mampu menghasilkan kejayaan yang lebih besar lagi, selagi kita percaya bahawa “Malaysia Boleh”.



Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)


KLIA, seperti yang diketahui oleh rakyat Malaysia, merupakan suatu bangunan yang menonjolkan kesenian yang unik dan menjadi teras kepada sektor pelancongan asing negara ini. Lapangan terbang ini juga merupakan lapangan terbang yang paling sibuk di Asia Tenggara dan menjadi lapangan terbang utama di Malaysia. Lapangan ini terletak di daerah Sepang, iaitu di Selangor dan berada 50 kilometer dari pusat Kuala Lumpur. KLIA menelan belanja sebanyak RM3.5 bilion untuk pembinaan.

Perancangan untuk pembinaan KLIA bermula pada tahun 1990 apabila kerajaan pada masa itu memutuskan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, atau kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, tidak mampu menampung permintaan masa hadapan dalam bidang penerbangan dan pelancongan. Kini, KLIA berupaya menampung 35 juta penumpang dan 1.2 juta tan metrik kargo setahun! Pada tahun 2007, KLIA dipangkatkan sebagai lapangan terbang ke-7 paling sibuk di Asia dan seramai 26,938,970 orang penumpang menggunakan KLIA pada tahun itu.


Terdapat beberapa kemudahan dan terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan antaranya ialah Terminal 1, iaitu terminal utama KLIA. Terminal ini terletak di antara dua “runway” lapangan tersebut. Terminal itu mempunyai keluasan sebanyak 336,000 meter per segi dan sebanyak 216 kaunter pendaftaran boleh dijumpai di terminal tersebut. Dengan adanya kaunter-kaunter tersebut, operasi pendaftaran penumpang dan pembelian tiket penerbangan dapat berjalan dengan lancar. Selain Terminal 1, terminal “Satellite” A menjadi tumpuan di KLIA kerana di terminal tersebut, terdapat banyak kedai bebas cukai yang menjual barangan berjenama antarabangsa. Penumpang perlu menaiki “aerotrain” untuk ke terminal ini dan pelbagai kemudahan disediakan dalam terminal “Satellite” seperti surau, tempat mandi, dan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma. Malah, terdapat hutan hujan mini di tengah-tengah terminal tersebut untuk mempamerkan keindahan alam semulajadi di Malaysia.

Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghargai dan menghayati kebanggaan Malaysia ini, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Kejayaan dalam pembinaan struktur unik ini tidak mungkin tercapai tanpa usaha yang gigih serta pandangan yang berwawasan ke arah masa hadapan.


Malaysia Airlines (MAS)


Syarikat Malaysia Airlines, atau lebih dikenali sebagai MAS, merupakan syarikat penerbangan tunggal yang dimiliki kerajaan Malaysia. Syarikat ini telah membawa nama Malaysia ke seluruh pelosok dunia melalui industri penerbangan antarabangsa dan kini, syarikat penerbangan Malaysia Airlines merupakan antara syarikat yang paling berjaya dalam arena penerbangan domestik dan antarabangsa di Asia Tenggara. Malaysia Airlines mengendalikan setiap penerbangan dari pusatnya, iaitu KLIA, dan pusat sekundernya di Kota Kinabalu.

Malaysia Airlines menyediakan pelbagai kemudahan bagi pelanggan-pelanggannya dan antaranya ialah kaunter CUSS yang membantu para pelanggan mendaftar untuk penerbangan dari 2 hingga 48 jam sebelum kapal terbang berangkat. Selain itu, MAS turut menyediakan “Golden Lounge” di lapangan-lapangan terbang tertentu. “Golden Lounge” ini memberi perkhidmatan seperti pusat perniagaan, makanan, bilik rehat, dan pusat menjaga kanak-kanak. Kabin-kabin dalam kapal terbang milik syarikat MAS juga terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Kabin Kelas Pertama versi terbaru diperkenalkan pada tahun 2005 dan hanya terdapat dalam kapal terbang Boeing 747-400. Hanya 12 tempat disediakan untuk kelas tersebut. Kelas “Golden Club” pula diperkenalkan pada tahun 2005 dan perkhidmatan hiburan dalam bentuk filem-filem, berita, dan dokumentari disediakan melalui peralatan-peralatan seperti “Portable Media Player (PMP)” untuk penerbangan yang melebihi 3 jam. Dalam kabin kelas Ekonomi pula, sebuah TV ditempatkan dalam setiap kerusi dan skrin LCD juga menayangkan filem-filem untuk tontonan umum.

Pendek kata, syarikat Malaysia Airlines telah banyak mengalami perubahan sejak penubuhannya pada tahun 1937 dan telah berevolusi dari syarikat penerbangan yang kecil-kecilan sehingga menjadi ikon industri penerbangan di Malaysia dan juga negara serantaunya. Malaysia Airlines merupakan salah satu kejayaan Malaysia dan legasinya serta sejarah di sebalik syarikat penerbangan yang dikenali seluruh dunia harus disemadikan dalam jiwa kita semua. Oleh itu, kita juga haruslah mengambil iktibar daripada syarikat yang berjaya ini supaya kita semua boleh menyumbang kepada negara kelak.

No comments:

Post a Comment